Walau
bagaimanapun, al-Razi tetap diletakkan dalam senarai ahli falsafah
muslim yang terkemuka sehingga ke hari ini. Sumbangannya yang besar
dalam bidang perubatan dan kimia sangat berharga kepada generasi
selepasnya. Manakala dalam bidang falsafah, al-Razi memberi sumbangan
besar dalam menghuraikan falsafah logik, metafizik, moral, dan kenabian
dengan cara rasional dan harmoni. Oleh sebab itulah al-Razi terkenal
sebagai seorang ahli falsafah yang rasional dan murni.
Al-Razi
atau nama sebenarnya Abu Bakar Muhammad bin Zakaria al-Razi, lahir pada
tahun 236H bersamaan 850M. Sesetengah pendapat mengatakan yang beliau
lahir pada 1 Sya'ban 251H bersamaan 865M. Beliau anak kelahiran bum!
Iran iaitu di Ray dekat Tehran merupakan seorang tokoh falsafah yang
masyhur pada kurun ke-3 Hijrah.
Beliau
pada zaman mudanya menjadi pemain gambus (rebab, rebana) sambil
menyanyi, kemudian dia meninggalkan pekerjaan itu dan mempelajari bidang
perubatan dan falsafah. Beliau belajar ilmu kedoktoran dengan Ali ibn
Rabban al-Thabari (192 - 240H bersamaan 808-855M) dan belajar ilmu
falsafah dengan al-Balkhi. Dalam masa yang sama beliau juga belajar
matematik, astronomi, sastera, dan kimia.
Semasa
Mansur ibn Ishaq ibn Ahmad ibn Asad menjadi Gabenor Ray, al-Razi diberi
kepercayaan memimpin rumah sakit (hospital) selama enam tahun (290-296H
bersamaan 902 - 908M). Pada masa ini juga al-Razi menulis buku al-Thibb
al-Mansuri yang dipersembahkan kepada Mansur ibn Ishaq ibn Ahmad.
Kemudian al-Razi berpindah ke Baghdad atas permintaan Khalifah
al-Muktafi (289 - 295H bersamaan 901 - 908M), yang berkuasa pada waktu
itu.
Dalam
menjalankan kerjaya kedoktoran, beliau dikenal sebagai seorang yang
pemurah, sayang kepada pesakit-pesakitnya, dermawan kepada orang-orang
miskin dan memberi rawatan kepada mereka secara percuma. Hitti
menyifatkan al-Razi sebagai seorang doktor yang paling agung dalam
kalangan doktor Muslim dan juga seorang penulis yang produktif.
Kemasyhuran
al-Razi sebagai doktor bukan sahaja di dunia timur, tetapi juga di
barat; sehinggakan beliau telah digelar The Arabic Galen. Setelah
Khalifah al-Muktafi wafat, al-Razi kembali ke Ray, dan meninggal dunia
pada 5 Syaaban 313H (Oktober 925M).
Para
sarjana berpendapat bahawa al-Razi mengalami sakit mata dan kemudiannya
buta pada penghujung hayat-nya. Al-Razi menderita akibat ketekunannya
menulis dan membaca yang terlalu banyak.
Dalam
dunia keilmuan, tradisi pro dan kontra tidak pernah luput sejak zaman
dahulu bahkan sehinggalah ke hari ini. Demikianlah pada zaman al-Razi,
beliau tidak terlepas daripada ditentang oleh para ilmuwan sezamannya.
Penentang
al-Razi yang dapat dikenal pasti oleh para sarjana dan ilmuwan Islam
ialah Abu Qasim al-Balkhi. Beliau banyak menulis penolakan terhadap
buku-buku al-Razi, terutama buku 'Ilm al'Ilahi. Begitu juga dengan
Syuhaid ibn al-Husain al-Balkhi, beliau mempunyai banyak perbezaan
dengannya al-Razi terutama tentang teori kesenangan. Teorinya tentang
kesenangan itu
dijelaskan
dalam kitabnya Tafdhil Ladzdzat al-Na^s, yang ditulis kembali oleh Abu
Sulaiman al-Mantiqi al-Sajistani dalam Siwan al-Hikmah.
Karya-karya dan sumbangan
Al-Razi
merupakan antara tokoh yang produktif dalam lapangan penulisan. Hal ini
terbukti dengan banyak hasil karya beliau ditemui termasuk yang telah
hilang. Tidak kurang daripada 200 buah karangan termasuk buku, makalah,
dan surat-surat telah dihasilkan oleh al-Razi dicatatkan para pengkaji.
Karya-karya beliau banyak membincangkan persoalan falsafah, perubatan,
sains, ketuhanan, al-Quran, ilmu kalam, bahasa Arab, fiqh dan usul fiqh,
geometri, dan sejarah.
Kemasyhuran
al-Razi bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada dunia Islam malah
ketokohan dan kepakaran beliau turut diakui oleh dunia barat. Hal ini
terbukti dengan banyak karya-karya beliau telah menjadi rujukan dan
panduan dunia barat terutamanya dalam bidang perubatan. Sehingga kini
karya-karya al-Razi masih diguna.
Kitab
al-Hawi (Liber Contines) merupakan sebuah ensiklopedia amalan perubatan
terapeutik yang dihasilkan olehnya menjadi rujukan dunia Eropah. Minat
yang mendalam dunia Eropah kepada karya agung yang seberat 10kg ini
terbukti dengan penerbitannya beberapa kali sejak abad ke-12M lagi
sehingga abad ke-17M.
Penemuan
al-Razi berkenaan sakit campak cacar tulen (smallpox) dan campak biasa
(measal) turut menjadi bahan rujukan perubatan di dunia Barat malah
turut diulangi penerbitannya beberapa kali sehingga abad ke-18M.
Kedua-dua karya ini juga merupakan sumber kurikulum tradisional di
kalangan para pengamal perubatan Islam.
Kitab
al-Mansur (Liber medicinalis ad al Mansorem) juga karya agung al-Razi
dalam dunia perubatan. Al-Razi telah menghasilkan buku ini ketika beliau
di Khurasan di bawah pemerintahan Gabenor al-Mansur Ibnu Ishaq. Dalam
buku ini terkandung 10 penemuan berkaitan tentang amalan sent dan sains
perubatan. Buku ini dianggap satu karya beliau yang tulen dan
mencerminkan kematangan dan kepakaran beliau dalam amalan perubatan
moden.
Dalam
buku ini juga beliau menekankan betapa pentingnya cara pemeriksaan yang
teliti sebelum membuat sesuatu kesimpulan tentang sesuatu penyakit.
Satu falsafah yang terpenting dalam karya al-Razi ini ialah kebenaran
dalam ilmu perubatan merupakan suatu yang amat sukar diperoleh dan
walaupun banyak tersedia rujukan namun kurang juga nilainya sekiranya
dibandingkan dengan amalan seorang doktor yang sentiasa menggunakan
kuasa pemikiran dan logiknya.
Al-Razi
menentang sekeras-kerasnya amalan penipuan dan penyelewengan dalam
amalan perubatan. Padanya penyakit jasmani tidak boleh dipisahkan dengan
penyakit rohani. Oleh sebab itu, dalam merawatnya kedua-dua pendekatan
iaitu rohani dan jasmani terus digemblengkan.
Al-Razi
turut memberi sumbangan yang besar dalam bidang kimia dengan
terhasilnya Kitab al-Asrar (The Book of Secrets). Buku ini telah
diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan merupakan sumber utama maklumat
bahan kimia sehingga abad ke-14M. Antara lain kejayaan al-Razi dalam
dunia perubatan ialah penemuan rawatan kepada penyakit cacar dan
pengasingan alkohol dalam penghasilan antiseptik.
Sumbangan
al-Razi dalam bidang falsafah tidak kurang hebatnya, dengan terhasilnya
banyak karya tentang falsafah sudah cukup untuk membuktikan minat yang
mendalam al-Razi dalam bidang falsafah. Karya beliau dalam bidang
falsafah yang berjudul Al'Thib al-Ruhani merupakan karya teragung beliau
dalam bidang falsafah. Karya ini berkisar tentang cara pengubatan
penyakit jiwa dan pengubatan fizik yang menyembuhkan tubuh badan.
Antara
karya utama yang membincangkan persoalan falsafah ialah al-Sirah
al'Falsafiyyah, Amarah al-lqbal aI'Dawlah, Kitab al-Ladzdzah, Kitab
al-llmi al-Ilahi, Maqalah fi ma baid al'Thabiiyah, dan al-Syukuk 'ala
Proclus.
Alt
Sami al-Nasysyar telah mengesan sebanyak 97 buah buku yang telah
dihasilkan oleh al-Razi yang merangkumi bidang-bidang al-Quran (tafsir)
lima buah, Ilmu kalam 40 buah, Falsafah 26 buah, Bahasa Arab tujuh buah,
Fiqh dan Usul Fiqh lima buah, Perubatan tujuh buah, Geometri lima buah,
dan Sejarah dua buah.
Brockelman
seorang pengkaji biografi orientalis pula membahagikan penulisan tokoh
ini kepada 13 bidang dengan hanya menemui 38 buah karya sahaja,
antaranya History dua buah, Fiqh tiga buah, Quran tiga buah, Dogmatics
13 buah, Philosophy lapan buah, Astrology satu buah, Cheiromancy satu
buah, Rhetoric satu buah, Encyclopedia satu buah, Medicine satu buah,
Physionomy dua buah, Alchemy satu buah, dan Mineralogy satu buah.